Bahasa Melayu

SIARAN MEDIA UNTUK SIARAN SEGERA Sistem Akreditasi Kesiapsiagaan Pasca COVID-19

GEORGE TOWN – EXCO Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang (PETACH) YB Yeoh Soon Hin telah memulakan satu sistem akreditasi bagi menilai kesiapsiagaan serta persiapan penggiat-penggiat industri pelancongan Pulau Pinang terhadap langkah-langkah pencegahan COVID-19.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang memulakan sistem akreditasi merangkumi sektor penginapan perhotelan, tempat tarikan pelancong, dan pusat membeli-belah berikutan dengan penerbitan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi industri pelancongan di Pulau Pinang.

EXCO PETACH YB Yeoh Soon Hin menyatakan bahawa objektif utama program akreditasi ini adalah untuk memberi penekanan terhadap kepentingan keselamatan dan kebersihan seiring dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memulihkan ekonomi sektor pelancongan ini

Yeoh turut berkata bahawa sistem akreditasi ini adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk mengembalikan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke Pulau Pinang dalam jangka masa panjang.

“Industri pelancongan kini sedang menuju ke arah norma baru. Oleh itu, persiapan yang mencukupi adalah amat penting dalam proses pemulihan ekonomi pelancongan.

“Pada masa yang sama, kita juga perlu mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat awam terhadap kepentingan langkah-langkah pencegahan diambil. Inisiatif ini juga selaras dengan halatuju negeri untuk mempromosikan pendekatan pelancongan bertanggungjawab di kalangan penggiat industri pelancongan dan pengunjung dalam usaha menangani Covid-19,” katanya.

Akreditasi ini akan diberikan kepada penggiat-penggiat industri pelancongan yang telah memenuhi dan mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pejabat EXCO Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Negeri Pulau Pinang (PETACH) dan Penang Global Tourism (PGT).

“Pihak berkenaan akan menjalankan proses audit yang menyeluruh untuk memastikan semua garis panduan dan prosedur operasi standard dipatuhi sebelum meluluskan permohonan daripada penggiat industri pelancong untuk mendapatkan akreditasi tersebut.

“Pemohon yang berjaya memenuhi SOP akreditasi ini akan diberi logo rasmi untuk dipamerkan di premis mereka serta untuk kegunaan promosi dan pemasaran,” kata Yeoh.

JKNPP, MBPP, MBSP, PETACH dan PGT akan menjalankan pemeriksaan berterusan untuk memastikan pihak-pihak berkenaan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

Semua dokumen yang berkenaan termasuk borang permohonan boleh dimuat turun dari https://penanglawancovid19.com/accreditation

Penggiat pelancong yang berminat untuk mendapatkan akreditasi ini boleh menghantar permohonan tersebut melalui e-mel ke covid19accreditation@penangglobaltourism.com.

Sebarangan persoalan boleh menghubungi pejabat Penang Global Tourism di talian 04-2643456 atau covid19accreditation@penangglobaltourism.com

Walaupun jumlah kes COVID-19 setiasa bertambah di negara ini, namun Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai kes positif di negeri Pulau Pinang dan berjaya mengekalkan status zon hijau melebihi 70 hari. Tambahan pula, Pulau Pinang juga telah mencapai tahap pematuhan 98% sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) oleh Kerajaan Persekutuan.

-Tamat-