Bahasa Melayu

PULAU PINANG RAIKAN PETUGAS BARISAN HADAPAN DENGAN TAWARAN EKSKLUSIF DAN PAS PERCUMA

Pulau Pinang, 10 Julai 2020.  Pelancongan Negeri Pulau Pinang (Penang State Tourism), yang diterajui EXCO Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang YB Yeoh Soon Hin, mengumumkan bahawa negeri Pulau Pinang akan meraikan wira barisan hadapan berwarganegara Malaysia yang terlibat dalam menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini dengan tawaran khas dan pas percuma. Kempen Thank You Frontliners yang dilancarkan hari ini adalah usaha pihak Pelancongan Negeri Pulau Pinang untuk menzahirkan tanda terima kasih atas pengorbanan petugas barisan hadapan yang berkorban masa dan mempertaruhkan nyawa mereka demi berkhidmat untuk negara susulan penularan wabak COVID-19.

Kempen Thank You Frontliners menawarkan diskaun dan tawaran penginapan, tempat tarikan pelancong dan pakej perkahwinan eksklusif untuk petugas barisan hadapan yang layak. Antara petugas barisan hadapan yang layak untuk tawaran ini ialah pegawai polis, jabatan kesihatan, tentera yang dikerah, imigresen, pertahanan awam, majlis perbandaran, dan jabatan sukarelawan Malaysia (RELA).

Pemain industri pelancongan, khususnya Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang dan Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) telah memberikan sokongan padu dengan menawarkan tawaran terhebat (“best-of-the-best” deals) buat petugas barisan hadapan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka. 18 ahli ATAP, yang terdiri daripada tempat tarikan pelancong, perniagaan dan restoran, menawarkan tiket masuk percuma dan potongan menarik untuk menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan. Petugas barisan hadapan yang layak disarankan untuk menikmati potongan yang ditawarkan oleh tarikan bertaraf dunia seperti Tropical Spice Garden, Entopia by Penang Butterfly Farm, The Habitat Penang Hill, The Top Penang, Tech Dome Penang dan banyak lagi.

Ahli Penang Wedding Professional Association (PWPA) juga telah menawarkan 62 tawaran “once-in-a-lifetime” dibawah kempen PWPA sendiri iaitu PWPACares. Petugas barisan hadapan yang terpaksa menunda perkahwinan mereka kini boleh melanjutkan majlis perkahwinan mereka dengan adanya potongan hebat yang ditawarkan hotel, ruang acara, dan pembekal produk perkahwinan.

 

EXCO Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang YB Yeoh Soon Hin berkata, “Petugas barisan hadapan adalah wira kita. Di kala kita semua kekal di rumah bersama keluarga, mereka telah bertungkus lumus berkerja setiap hari, termasuk hujung minggu, musim perayaan dan sepanjang bulan Ramadan, untuk menghentikan penularan virus Covid-19. Ada juga yang terpaksa menangguh perkahwinan mereka demi keselamatan kita.

“Tetapi, wira juga perlu berehat, dan kami tahu cabaran yang dihadapi wira kita adalah amat sukar. Oleh yang demikian, kami telah menawarkan diskaun dan tawaran penginapan, tempat tarikan pelancong dan perkahwinan khas untuk wira kita sebagai tanda terima kasih dari kami buat petugas barisan hadapan.

“Untuk pegawai polis, jabatan kesihatan, tentera yang dikerah, imigresen, pertahanan awam, majlis perbandaran, dan jabatan sukarelawan malaysia (RELA), layarilah penangtraveldeals.com untuk maklumat lanjut berkenaan dengan tawaran eksklusif dari kami untuk anda di bawah kempen Thank You Frontliners.

“Setelah tiga bulan berkorban masa dan mempertaruhkan nyawa, kini tiba masanya untuk  untuk berehat dengan orang tersayang atau merancang perkahwinan anda dengan mengunjungi Pulau Pinang. Semestinya, Pulau Pinang adalah destinasi percutian dan perkahwinan bertaraf dunia yang sesuai untuk wira kita.”

Kempen Thank You Frontliners ini dilancarkan dibawah kempen JOM! Experience Penang yang disasarkan untuk pasaran domestik. Terdahulu, dua kempen telah dilancarkan di bawah JOM! Experience Penang iaitu kempen Best Hotel Deals dan Best Attraction Deals. Semua kempen ini boleh dilayari di penangtraveldeals.com.

-Tamat

 

Media enquiries:
D’Yani Ramoo
Communications Manager
Penang Global Tourism
rdyani@penangglobaltourism.com
+604 264 3456